KOMERSIAL KEK CIPTAAN IBU | Kolej UNITI Port Dickson

Haniz Amira Ahamat, merupakan bekas pelajar Diploma in Accountancy (DIA) UiTM, Kolej UNITI Port Dickson kini menjadi usahawan kek sejuk beku jenama MyZiff Bakers, yang bukan saja mula menguasai pasaran tempatan malah menjengah ke luar negara.

Amira, anak bongsu daripada empat beradik, membesar dengan melihat kegigihan kedua-dua ibu bapanya, Fauziah Tawil dan Ahamat Leman membuat serta menjual kek untuk mencari sumber pendapatan tambahan bagi menampung keperluan keluarga.

“Pada 1997, apabila berlaku kegawatan ekonomi, perniagaan daging yang diusahakan ayah terjejas. Walaupun mama mempunyai pekerjaan tetap sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat swasta, pendapatan mama tidak mencukupi untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Oleh itu mama memulakan perniagaan kek secara sambilan kerana kebetulan memang hobi mama membuat kek. Begitu pun, untuk meningkatkan kemahiran dirinya, mama sanggup mengorbankan cuti hujung minggunya selama enam bulan menyertai kelas membuat kek.

“Pada awalnya mama hanya membuat kek prun dan menjualnya dalam kalangan rakan serta ahli keluarga. Pada masa sama, ayah turut membantu membuat jualan. Ternyata kek mama mendapat sambutan di luar jangkaan terutama menjelang musim hari raya.

“Ketika itu, mama memang tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan. Ia bukan lagi menjadi kerja sampingan hujung minggu malah setiap hari, selepas pulang kerja, mama terpaksa berjaga sehingga larut malam untuk membuat kek.

“Mama membuat pekerjaan itu sendiri kerana tidak mampu menggaji pekerja. Jadi, saya, ayah dan abang turut membantu. Ketika itu saya berusia sekitar enam tahun.

“Semakin hari perniagaan kek mama semakin berkembang selepas mama menambah beberapa perisa. Apatah lagi apabila mama memperkenalkan kek sejuk beku, ia semakin digemari kerana boleh disimpan lebih lama.

“Bermula dengan perasaan kasihan dan ingin membantu, lama-kelamaan saya mula jatuh cinta dengan bidang ini. Jadi, selepas menamatkan pengajian dalam jurusan perakaunan di Kolej UNITI pada 2012, saya bersama abang ketiga, Muhammad Haziff berganding bahu membantu mengembangkan perniagaan kek mama,” ujar Amira.

Pikul tanggungjawab

Melalui syarikat G & H Cake House Sdn Bhd, yang diterajui Fauziah sebagai Pengarah Urusan, Amira selaku Pengarah Pengeluaran serta Haziff selaku Pengarah Pemasaran mengkomersialkan produk kek sejuk beku ciptaan ibu mereka melalui jenama MyZiff Bakers.

Kombinasi keenakan kek, penjenamaan, pembungkusan yang menarik serta pemasaran yang efektif melonjakkan pasaran MyZiff Bakers apabila tuntutan pasaran sekarang memerlukan mereka menghasilkan kira-kira 5,000 kotak kek sebulan.

Pengiktirafan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sijil MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) oleh Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) menambahkan keyakinan pelanggan terhadap produk ini.

“Setakat ini, kami menjalin kerjasama dengan beberapa pasar raya terkemuka serta kedai di bawah kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Namun, ia perlu dipergiatkan kerana belum mencapai sasaran, kami ingin melihat MyZiff Bakers sampai ke seluruh pelosok Malaysia termasuk di luar bandar. Setakat ini tumpuan jualan lebih di sekitar bandar.

“Oleh itu kami mempergiatkan promosi melalui penyertaan dalam ekspo pemakanan di seluruh negara. Setakat ini kami menjelajah ke seluruh Semenanjung kecuali Kelantan, Perlis dan Kedah. Alhamdulillah, sambutan yang kami terima sangat positif.

“Pada masa sama, melalui usaha sama dengan FAMA, kami berjaya menembusi pasaran di Singapura. Kini, kami sudah bersedia untuk meneroka pasaran negara luar yang lain. Insya-Allah mulai Januari 2017, MyZiff Bakers akan mula menjengah pasaran Brunei,” katanya.

Kemampuan Amira mengendalikan G & H Cake House menyebabkan keluarga menaruh kepercayaan penuh ke atas dirinya bagi meneruskan misi syarikat selepas Haziff meneroka bidang lain sebagai langkah mengembangkan sayap perniagaan mereka.

Bagi Amira, walaupun tanggungjawab yang diamanahkan oleh keluarganya agak berat dan mencabar, dia sudah bersedia mengharungi sebarang rintangan demi meneruskan perniagaan yang dicetuskan ibunya.

“Memang selepas abang sibuk mengendalikan perniagaan barunya, jatuh bangun Myziff Bakers kini terletak sepenuhnya di atas bahu saya di samping masih dibantu mama dan ayah. Tapi, saya tidak akan sia-siakan kepercayaan yang diberikan keluarga.

“Apatah lagi ia adalah hasil usaha mama sejak hampir 20 tahun, oleh itu menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan warisan mama. Saya tidak rela usaha mama ini berkubur begitu sahaja, kalau boleh biarlah ia menjadi warisan keluarga kelak,” ujar ibu muda kepada seorang anak ini.

Bermula di rumah, MyZiff Bakers kini mampu beroperasi di premis lebih besar di Serendah, Rawang dengan mengeluarkan kek sejuk beku pelbagai cita rasa antaranya perisa prun, durian, nanas, coklat, strawberi, oren, aprikot, neapolitan dan beri biru.

Walaupun masih jauh untuk bergelar korporat, keberanian anak muda seperti Amira patut dicontohi.

Sumber : https://www.hmetro.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s